Thursday, 19 October 2017

KEBAIKAN SOLAT UNTUK KESIHATAN


Assalamualaikum wbt, apa khabar semuanya? Ok lah, Lady S tahu mestilah ada yang merindui celoteh Lady S kan? Hari ini suka Lady S nak kongsikan dengan anda semua entry yang bermanfaat khususnya untuk yang beragama islam 😉 Lady S nak ceritakan berkenaan KELEBIHAN SOLAT UNTUK KESIHATAN. Haaa… 

Seperti yang kita semua sedia maklum, solat merupakan tiang bagi agama Islam. Solat merupakan perkara pertama yang akan dipersoalkan oleh Allh swt di akhirat kelak. Banyak kelebihan solat yang perlu kita tahu dan antaranya adalah kelebihan solat dari segi kesihatan. Bagaimana solat yang merupakan amanah buat kita, jika kita menjaganya dengan baik akan dikurniakan Allah kesihatan yang lebih cemerlang 😊

Entry kali ini merupakan petikan dan rumusan bagi buku yang ditulis oleh prof. Madya Dr Fatimah Ibrahim yang merupakan pensyarah di Universiti Malaya iaitu “Solat Dari Perspektif Sains”. Terdapat empat bahagian kesihatan yang terbukti akan lebih baik dengan amalan solat. Jom kita sama-sama lihat apakah empat kelebihan tersebut.



1) KELEBIHAN SUJUD

Sekurang-kurangnya dengan solat fardhu sahaja kita akan melakukan pergerakan sujud sebanyak 34 kali. Sujud merupakan saat di mana kita lebih dekat dengan Maha Pencipta. Sujud memberikan ketenangan hati bagi yang benar-benar merasa dirinya bertuhan. 

Dari segi saintifiknya, sujud menyebabkan pengaliran darah ke bahagian otak menjadi lebih baik kerana adanya tarikan gravity. Dinding dan urat-urat nadi pada bahagian otak ketika sujud menerima lebih banyak bekalan darah dan oksigen berbanding keadaan badan pada posisi yang lainnya. Ini menjadikan keadaan otak sihat dan cerdas.

Selain itu, kadar denyutan jantung ketika sujud juga adalah lebih baik berbanding pada posisi badan yang lain. Ini menjadikan posisi sujud itu memberikan kesihatan yang lebih baik khususnya kepada jantung dan bahagian badan secara menyeluruh. Posisi sujud merangsang kadar denyutan jantung yang sihat. Justeru, ia membantu memanjangkan jangka hayat jantung dan menghindarkan pengecilan saluran darah yang boleh menyebabkan penyakit kronik seperti arteriosklerosis.



2) KESAN SOLAT PADA KESIHATAN SEKSUAL

Dari sudut kesihatan pula, solat terbukti mampu memberikan kesan positif kepada individu yang mempunyai masalah disfungsi ereksi (ED). Kajian membuktikan individu yang pada asalnya tidak dapat ereksi ketika tidur mula menunjukkan perubahan dengan satu ereksi selepas proses intervensi solat selama sebulan. 

Selain itu, dalam suatu kajian yang lain pada masa sama juga menunjukkan bilangan ereksi pesakit, isipadu darah serta tempoh ereksi juga meningkat secara mendadak. 



3) KHASIAT RUKUK

Selain sujud, rukuk yang merupakan pergerakan wajib di dalam solat juga memberikan impak yang baik kepada kesihatan tubuh badan manusia. Pergerakan sujud di mana kedudukan tulang belakang berada pada keadaan 90 darjah dan lurus melintang terbukti dapat mengelakkan risiko penyakit tulang belakang dan arthritis. Ini kerana, posisi rukuk menyebabkan pertambahan bendalir dalam sel yang terdapat pada sendir-sendi badan justeru melembutkan pergerakan sendi tersebut.

Posisi rukuk juga terbukti mampu membantu melambatkan proses penuaan kerana ia meningkatkan tisu aktif selain menambah baik proses imbangan air di dalam badan dan melancarkan fungsi buah pinggang. 

Tambahan pula, terdapat kajian yang menunjukkan bahawa pesakit yang menjalani terapi solat selama sebulan mengalami sakit pinggang yang berkurangan.




4) OTAK DAN SUJUD

Oleh kerana peredaran darah ke otak pada ketika seseorang itu sujud meningkat, maka kesihatan dan kecerdasan otak seseorang itu juga akan meningkat. Gelombang otak mempunyai beberapa frekuensi irama yang dipengaruhi oleh keadaan emosi dan fizikal seseorang. Terdapat sejenis gelombang otak yang dikenali sebagai Alfa (sekitar 8-13 Hz) menunjukkan tanda-tanda ketenangan iaitu semasa posisi sujud. 

Pergerakan di dalam solat juga boleh dikategorikan sebagai senaman ringan yang menyerupai senaman regangan berbentuk terapi perubatan. Pergerakan di dalam solat memberi pengaruh yang positif kepada kesihatan fizikal dan emosi. 



Justeru, menerusi 4 khasiat solat yang telah Lady S kongsi kepada pembaca sekalian, diharapkan para pembaca mendapat manfaat serta memanfaatkan entry kali ini dalam kehidupan semua ya 😊sekiranya kita kurang mengerti apa erti kita solat setiap hari, maka hari ini kita sudah tahu solat ini ada banyak khasiatnya meskipun secara perubatan. Jom Solat!

Salam sayang,
Lady S

No comments:

Post a Comment