Thursday 12 October 2017

10 SUNNAH NABI YANG DIABAIKAN


Assalamualaikum pembaca setia Lady S! haaaa… jika sebelum ini, Lady S dah berikan tips buat anda semua, hari ini Lady S nak berikan sedikit perkongsian 😊 perkongsian hari ini berkisar tentang 10 sunnah Rasulullah saw yang kita, umat akhir zaman, sering abaikan. 

Sebagai pengenalan, izinkan Lady S memberikan maksud apa itu As-Sunnah? As- Sunnah menurut istilah syariah bererti segala sesuatu yang bersumberkan Nabi Mihammad saw yang mana boleh jadi ia berbentuk ucapan (qaul), perbuatan (fi’il), penetapan (taqrir), sifat tubuh serta akhlak yang dimaksudkan sebagai pensyariatan (tasyri’) bagi semua muslim.

Sunnah Nabi saw bukanlah suatu kewajipan kepada kita yang beragama Islam. Jika seseorang muslim itu mengikut Sunnah maka akan diberikan ganjaran pahala. Sebaliknya, jika seseorang muslim itu tidak membuat sebarang Sunnah maka ianya bukan suatu dosa. 

Di sini, Lady S ingin menyenaraikan 10 sunnah Rasulullah saw yang sering diabaikan dan mungkin tanpa kita sedari merupakan Sunnah Rasullullah saw. 

1) Mendahulukan kaki kanan ketika memakai sandal/selipar

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Jika kamu memakai sandal/selipar, maka dahulukanlah kaki kanan dan jika melepaskannya dahulukanlah kaki kiri. Jika memakainya, maka hendaklah memakai kedua-duanya atau tidak memakai kedua-duanya sama sekali. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Menerusi hadis di atas, jelas sekali Rasulullah saw menyarankan agar muslim memulakan memakai sandal/selipar dengan menggunakan kaki kanan kerana perbuatan tersebut ada keberkatannya. Bukan sahaja perbuatan memakai sandal/selipar disarankan untuk didahulukan dengan kaki kanan, malah banyak lagi perbuatan yang digesa untuk didahulukan dengan kaki, lambung, tangan dan sebelah kanan badan. 

Sebagai contoh, perbuatan makan/minum yang diharuskan penggunaan tangan kanan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Apabila seseorang daripada kamu makan, maka hendaklah ia makan dengan tangan kanannya, hendaklah ia minum dengan tangan kanannya, hendaklah ia mengambil dengan tangan kanannya dan hendaklah ia memberi dengan tangan kanannya." (riwayat al-Hasan bin Sufiyan)

Namun begitu, terdapat juga perbuatan yang diharuskan untuk dimulakan dengan kaki kiri iaitu memasuki tandas. 😊

2) Menjaga dan memelihara wudhuk


Amalan menjaga dan memelihara wudhuk daripada terbatal juga merupakan suatu Sunnah yang sering dipandang enteng oleh masyarakat muslim.

Diriwayatkan daripada Thauban r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Istiqamahlah (konsistenlah) kamu semua (dalam menjalankan perintah Allah) dan kamu tidak akan pernah dapat menghitung pahala yang akan Allah berikan. Ketahuilah bahawa sebaik-baik perbuatan adalah solat, dan tidak ada yang selalu memelihara wuduknya kecuali seorang mukmin." (riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

3) Bersiwak

Bersiwak adalah perbuatan yang disunatkan pada setiap saat, lebih-lebih lagi ketika hendak berwuduk, bersolat, membaca al-Quran, ketika mulut berbau, pagi ataupun petang, ketika bangun daripada tidur dan hendak memasuki rumah. Bersiwak merupakan perbuatan sunnah yang hampir tidak pernah dilakukan oleh kebanyakan muslim.

Diriwayatkan daripada Aisyah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Siwak dapat membersihkan mulut dan saranan untuk mendapatkan reda Allah." (riwayat Ahmad dan an-Nasa’i)
Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud: Andai kata tidak memberatkan umatku necaya aku memerintahkan mereka untuk bersiwak setiap kali hendak solat. (riwayat Bukhari dan Muslim)

4) Solat istikharah

Maklum pada semua kebanyakan kita muslim di Malaysia hanya tahu kewujudan solat istikharah ketika penentuan jodoh dilakukan. Sebenarnya, konteks dan tujuan solat istikharah ini adalah lebih jauh dan besar. Selain untuk merasa yakin dengan jodoh yang ingin dikahwini, istikharah juga membantu kita menentukan keputusan terbaik di dalam hidup sama ada untuk peluang kerja, belajar dan lain-lain. 

Diriwayatkan  daripada Jabir r.a. bahawa ia berkata: Rasulullah SAW mengajarkan kepada kita tatacara solat istikharah untuk segala urusan, sebagaimana Baginda mengajarkan surah-surah al-Quran kepada kami. (riwayat Bukhari)

Oleh itu, lakukanlah solat istikharah dan berdoalah dengan doa yang sudah lazim diketahui dalam solat istikharah ketika kita merasa keliru dalam membuat keputusan yang terbaik.

5) Berkumur dan menyedut air ke hidung

Antara perkara yang disunatkan ketika mengambil wudhuk adalah berkumur serta menyedut air ke dalam hidung sebagai tujuan penyucian.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Zaid r.a. bahawa Rasulullah SAW berkumur-kumur dan menghisap/menghirup air ke hidung secara bersamaan daripada satu ceduk air dan itu dilakukan sebanyak tiga kali (ketika berwuduk). (riwayat Bukhari dan Muslim)

6) Berwudhuk sebelum tidur dan tidur mengiring ke sebelah kanan badan.

Islam merupakan sebuah agama yang mengajarkan penganutnya semua aspek kehidupan termasuklah cara tidur yang betul dan mendapat pahala darinya. 

Diriwayatkan daripada Al-Barra’ bin ‘Azib r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Jika kamu hendak tidur, maka berwuduklah seperti hendak solat, kemudian tidurlah dengan posisi miring ke kanan dan bacalah: “Ya Allah, aku pasrahkan jiwa ragaku kepada-Mu, aku serahkan semua urusanku kepada-Mu, aku lindungkan punggungku kepada-Mu, kerana sayang sekali gus takut kepada-Mu, tiada tempat berlindung mencari keselamatan daripada (murka-Mu) kecuali kepada-Mu, aku beriman dengan kitab yang Engkau turunkan dan dengan nabi yang Engkau utus." Jika kamu meninggal, maka kamu meninggal dalam keadaan fitrah. Dan usahakanlah doa ini sebagai akhir perkataan kamu. (riwayat Bukhari dan Muslim)

7) Sujud syukur

Diajarkan kepada kita oleh Rasulullah saw apabila seorang muslim itu menerima sebarang rezeki atau nikmat atau doanya dimakbulkan Allah swt, maka disunnahkan untuk kita melakukan sujud syukur tanda kesyukuran kita terhadap nikmat yang dikuriakan Allah swt buat kita. Sujud ini hanya sekali dan tidak terikat oleh waktu. 

Diriwayatkan daripada Abu Bakrah r.a. ia berkata: Jika Rasulullah SAW mendapatkan sesuatu yang menyenangkan atau disampaikan khabar gembira, maka Baginda langsung sujud dalam rasa bersyukur kepada Allah." (riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah).

8) Berlumba mengumandangkan azan, bersegera untuk solat dan berusaha mendapatkan saf pertama

Ini merupakan perkara yang paling jarang sekali Lady S perhatikan akan berlaku di Malaysia. Ketika Lady S ke tanah suci pada tahun 2012, setiap kali berkumandang sahaja azan, semua muslim akan berhenti bekerja dan meninggalkan pekerjaan masing-masing hanya untuk solat. Namun, itulah bezanya di tanah haram dan di negara kita. 

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Andai kata umat manusia mengetahui pahala di sebalik azan dan berdiri pada saf pertama kemudian mereka tidak mendapatkan bahagian kecuali harus mengadakan undian terlebih dahulu nescaya mereka membuat undian itu. Andai kata mereka mengetahui pahala bergegas menuju masjid untuk melakukan solat, nescaya mereka akan berlumba-lumba melakukannya.

Andai kata mereka mengetahui pahala solat Isyak dan Subuh secara berjemaah, nescaya mereka datang meskipun dengan merangkak. (riwayat Bukhari dan Muslim).

9) Berdoa ketika memakai pakaian baharu

Teradapat pelbagai doa yang telah diajarkan kepada kita sejak dari kecil lagi contohnya doa ketika keluar dan masuk tandas, doa ketika hendar tidur dan bangun dari tidur, doa makan dan sebagainya. Doa ketika memakai pakaian juga tidak terkecuali supaya pemakaian kita itu ada ganjaran pahalanya serta semoga dengan doa tersebut Allah swt memperelok rupa paras kita standing dengan baju yang dipakai.

Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri r.a. ia berkata: Rasulullah SAW jika mengenakan pakaian baharu, maka Baginda menamakan pakaian itu dengan namanya, baju, serban, selendang ataupun jubah, kemudian Baginda membaca: “Ya Allah, hanya milik-Mu semua pujian itu, Engkau telah memberiku pakaian, maka aku memohon kepada-Mu kebaikannya dan kebaikan tujuannya dibuat dan aku berlindung kepada-Mu daripada keburukannya dan keburukan tujuannya dibuat." (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi).

10) Mengucap salam sesama muslim 

Selain mengucapkan perkataan selamat pagi dan sebagainya ketika kita berjumpa dengan rakan sesama muslim adalah lebih elok jika kita mengamalkan ucapan salam. Ucapan salam merupakan doa yang paling mudah untuk kita berikan kepada rakan sesama muslim sama ada yang dikenali atau tidak. 

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru r.a. ia menceritakan: Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW: Apa ciri keislaman seseorang yang paling baik? Rasulullah SAW menjawab: Kamu memberikan makanan (kepada orang yang memerlukan) dan mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan orang yang tidak kamu kenal. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Diriwayatkan daripada Anas r.a. bahawa ia menuturkan: Rasulullah SAW berjalan melalui kumpulan kanak-kanak, lalu Baginda mengucapkan salam kepada mereka semua. (riwayat Muslim)

Ibnu Rajab menuturkan: Orang yang beramal sesuai ajaran Rasulullah SAW, meskipun amal itu sangat kecil, maka itu akan lebih baik daripada orang yang beramal tidak sesuai dengan ajaran Rasulullah SAW walaupun dia sangat bersungguh-sungguh.

Begitulah kesemuanya 10 sunnah Rasulullah saw yang sering diabaikan oleh kita sebagai seorang muslin. Sebagai penutup entry kali ini, Lady S berikan sebuah doa untuk kita semua agar kita sentiasa menjadi muslim yang mukmin dan mengamalkan Sunnah Rasulullah saw di dalam kehidupan seharian kita. In shaa Allah 

“Ya Allah, jadikanlah kami orang-orang yang mengikuti sunnah Rasul-Mu dan mengikuti jejaknya. Ya Allah, kumpulkan kami dan kedua orang tua kami dan kaum muslimin semuanya ke dalam syurga-Mu, wahai Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Amin Ya Rabbal Alamin.”

Salam sayang,
Lady S 

No comments:

Post a Comment