Sunday, 15 March 2020

Makanan-makanan di Dalam Rumah Perlu Ditutup




Di masjid Ukay Perdana beberapa bulan lalu seorang penceramah (lupa namanya) dalam kuliah Subuhnya bercerita perihal kehidupan jin dan jenis-jenisnya.

Katanya ada 3 jenis jin dalam alam ini iaitu:

1. Jin yang berpindah randah - Hidup seperti manusia, berpindah dari satu tempat ke suatu tempat.

2. Jin yang menyerupai anjing dan ular. Jika ada ular memasuki rumah, ada cara untuk menghalaunya. Tidak boleh dibunuh dalam rumah kerana dibimbangi ia adalah jelmaan jin.

3. Jin tidak makan dan tidak minum. Jin jenis ini sering juga dipanggil 'angin merah'. Jin ini sentiasa berterbangan di udara seperti serangga. Kata ustaz, jin ini amat bahaya kerana sukar untuk diubati jika terkena gangguan atas sifatnya yang tidak makan dan minum. Jin ini juga menggemari logam seperti besi-besi sebagai tempat hinggapnya (seperti di jalan-jalan raya dan kawasan pembinaan, rumah dll)

Maka dengan sebab itulah Nabi SAW pernah berpesan agar makanan-makanan di dalam rumah perlu ditutup khususnya pada malam hari kerana akan diturunkan satu wabak pada satu malam dalam satu tahun namun tidak disebut waktunya.

Baginda Rasulullah bersabda: “Tutuplah bekas makanan dan minuman kamu pada malam hari. Setiap tahun ada satu malam yang padanya diturunkan wabak. Tidak akan lalu (melintasi) wabak itu ke atas bekas makanan atau minuman yang tidak ditutup kecuali ia (wabak) masuk ke dalamnya.” [HR Muslim]

Dalam satu hadis lain Rasulullah s.a.w. menyebut, “Tutuplah bejana (makan/minuman) kamu pada waktu malam walaupun dengan sebatang lidi.”

Jadi, berdasarkan ceramah ustaz itu, maka teringatkah akan virus Covid-19 yang mudah merebak melalui udara selain mampu hidup 12 jam pada logam-logam dan besi-besi.

Selain itu sering juga disebut orang terkena santau dan sebagainya yang besar kemungkinan ia berpunca daripada wabak pada 1 malam yang diturunkan seperti sabda nabi itu.

Selain usaha secara fizikal, kita sebagai hambanya juga perlu berusaha meningkatkan ketakwaan dengan berdoa agar terhindar daripada sebarang musibah kerana sesuatu ujian itu diturunkan ada sebab-sebabnya seperti kemurkaan Allah atas kerosakan yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia.

Dalam surah Ar-Room ayat 41: Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).

Wallauhualam.

[Sekadar berkongsi hasil intipati kuliah agama. Mohon mereka yang arif perbetulkan jika terdapat kesalahan].

Sumber: Niezam Abdullah

No comments:

Post a Comment