Ramadhan kini hanya tinggal 8 hari sahaja lagi. Lady S sangat teruja dan tidak sabar untuk melaluinya. Semoga Allah menemukan kita dengan Ramadhan ini dalam keadaan yang baik dan sihat.
Sebelum itu, mari lakukan persediaan yang terperinci untuk memastikan kita tidak pancit semasa berpuasa kelak. Ada 9 perkara yang Lady S ketengahkan. Mari kita lihat sama-sama.
1) Zikir dan sedekah tidak boleh kita lakukan dengan tiba-tiba. Jadi, dalam masa yang masih berbaki 8 hari ini mulakan sedikit demi sedikit.
Beri sedekah RM 1 di mana-mana masjid/surau yang anda singgah untuk solat. Begitu juga zikir. Hari ini, mulakan dengan berzikir sebanyak 100x sepanjang hari.
2) Cuba lakukan setiap aktiviti kita hari ini dengan niat ikhlas kerana Allah. Mahu ke pejabat? Niatkan mahu mencari rezeki yang halal untuk menyara keluarga. Mahu bersenam? Niatkan mahu jadi kurus dan sihat agar mudah beribadat kepada Allah.
Mahu makan? Niatkan agar ada tenaga untuk melakukan solat-solat sunat. Lakukan untuk setiap perbuatan kita dan seterusnya.
3) Jika sepanjang tahun kita tidak mengaji, tak mungkin secara tiba-tiba kita mahu membaca Al-Quran bermuka-muka semasa Ramadhan.
Lakukan sedikit demi sedikit dengan membaca satu muka sehari. Dan naikkan sehinggalah boleh kita membaca setiap kali selepas solat satu muka.
4) Mula kurangkan jumlah makanan yang anda ambil sehari. Jika biasa makan nasi 3x sehari, kurangkan jadi sekali sahaja.
Ataupun kurangkan jumlah makanan yang anda makan. Dari 2 senduk nasi, jadikan hanya 1 sahaja. Tidaklah perut anda terkejut nanti.
5) Jika anda tak pasti anda boleh terus puasa Ramadhan nanti, mulakan dengan berpuasa sunat beberapa hari sebelum Ramadhan.
Ada baki lagi 8 hari ini, cubalah berpuasa sunat. Dapat pahala puasa dan juga dapat biasakan diri berpuasa. Win-win.
6) Memandangkan Ramadhan datang setahun sekali, mesti beberapa hukum dan larangan yang kita seakan tidak pasti. Buka buku kembali atau tanya sahaja encik Google.
Belajar dan fahami kembali kerana takut-takut puasa kita sia-sia pula nanti.
7) Mula jaga masa kita dari melakukan perkara yang sia-sia. Tidak perlulah melepak di meja rakan sekerja bergosip, melayan Whatsapp berpanjangan, melihat video-video lara di Youtube, mendengar lagu-lagu yang tidak elok dan banyak lagi.
Mula isi masa dengan perkara-perkara yang membawa kebaikan.
8) Kita sebagai manusia tidak boleh lari dari melakukan dosa; kecil ataupun besar. Jadi, mulakan Ramadhan ini dengan bertaubat akan dosa-dosa lalu agar puasa kita lebih baik dan diterima Allah.
9) Sukar bangun Subuh? Hmm.. Bagaimana mahu melakukan Qiamullail jika begitu. Latih diri dari sekarang untuk tidur awal dan bangun 10 minit sebelum azan Subuh.
Lakukan solat sunah Tahajjud 2 rakaat dalam masa 10 minit tersebut. Itu sebagai permulaan yang baik untuk memulakan Qiamullail.
Bagaimana? Sudah bersedia untuk Ramadhan kali ini? Yang belum habis ganti puasa, cepat-cepat ya! Ada masa lagi 8 hari ni. Jangan tangguh-tangguh. Good luck! - LadyS
No comments:
Post a Comment