Monday, 8 May 2017

Tingkatkan Stamina Untuk Haji & Umrah Bagi Warga Emas

Semakin meningkat usia, semakin lemah tubuh badan kita. Lady S mungkin belum mencapai usia emas, tetapi percayalah kini Lady S lebih mudah letih dan sering sakit-sakit badan. Jangan jadikan alasan usia sebagai penghalang untuk kekal sihat dan aktif. Terutama sekali bagi warga emas yang bakal menunaikan Haji dan Umrah tahun ini.

Terdapat beberapa tips mudah untuk anda warga emas untuk meningkatkan kembali stamina tubuh sebelum menjejak kaki ke Mekah. Mari Lady S berikan beberapa cara dan juga satu gambarajah senaman yang sangat sesuai untuk warga emas lakukan tanpa mematahkan pinggang anda.

1) Mengangkat berat

Ini mungkin sekali kedengaran menakutkan dan juga menyakitkan tetapi tahukah anda ia cara yang baik untuk meningkatkan kesihatan tubuh secara menyeluruh? Untuk tidak mencederakan diri, anda perlu mulakan dengan pemberat yang ringan. 

Anda juga boleh mulakan tanpa pemberat jika anda rasa tidak yakin. Sedikit demi sedikit, tingkatkan keberatan pemberat yang anda angkat tetapi jika anda mula rasa sakit, turunkan kembali ke pemberat yang ringan.


2) Mendayung

Rutin ini boleh meningkatkan kekuatan bahagian atas badan dan juga kaki. Anda boleh memilih untuk mendayung sampan atau mengayuh bot di tasik. Ia bukan sahaja baik untuk senaman, ia juga baik untuk mengurangkan stress dan menikmati ketenangan.


3) Mendaki/berjalan

Berjalan adalah cara terbaik untuk melakukan senaman kardiovaskular berkala rendah ke sederhana. Senaman ini merupakan saranan yang paling kerap diberi oleh doktor untuk meningkatkan stamina. 

Anda tidak perlulah berjoging ataupun berlari anak untuk melakukannya. Cukup dengan berjalan perlahan dalam 3 KM sejam, ia akan mengimbangkan gaya hidup yang tidak aktif sesetengah warga emas.


4) Berbasikal

Ramai yang merasakan bahawa berbasikal hanya untuk kanak-kanak dan remaja tetapi tahukah anda senaman ini rendah-impak yang sangat selesa untuk sendi-sendi anda. 

Buatlah pilihan sama ada anda mahu menggunakan basikal yang pegun ataupun berbasikal di luar, kedua-duanya akan meningkatkan kesihatan anda secara menyeluruh, mengurangkan sakit arthritis, membantu merendahkan tekanan darah tinggi dan juga meningkatkan mood anda.


Cuba anda lihat gambarajah di bawah. Kesemua senaman/gerakan di bawah boleh anda lakukan tanpa perlu anda keluar dari rumah. Ia jelas sesuai dan tidak membahayakan anda.

Rujukan: standouthealth.com


Walaupun usia sememangnya menjadi penghalang untuk bersenam tetapi janganlah anda terus tidak melakukan aktiviti fizikal. Melakukan rutin senaman yang rendah-impak adalah cara yang terbaik untuk warga emas meningkatkan kesihatan fizikal malah mengawal kestabilan emosi, meningkatkan fungsi kognitif dan juga kualiti hidup. 

Jadi, selepas ini bolehlah anda memanjat Jabal Rahman atau Bukit Uhud semasa menunaikan Haji atau Umrah. Semoga Allah S.W.T permudahkan urusan anda sepanjang melakukan ibadah di sana. - LadyS 

No comments:

Post a Comment